KUALA LUMPUR – Pengarah filem dan iklan terkenal, Yasmin Ahmad (gambar) yang mengalami strok dan pendarahan di bahagian otak sejak Khamis lepas meninggal dunia malam tadi.
Yasmin, 51, kembali ke rahmatullah kira-kira pukul 11.30 malam di Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya selepas tiga hari berada dalam koma setelah menjalani pembedahan membuang darah beku di kepalanya.
Yasmin yang terkenal sebagai pengarah filem Sepet, Gubra dan Talentime rebah secara tiba-tiba semasa bermesyuarat bersama penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa serta beberapa kakitangan Media Prima di Sri Pentas, TV3, sekitar pukul 3 petang Khamis lalu.
SAAT-SAAT AKHIR ARWAH YASMIN AHMAD
BERMULA pukul 4 petang hinggalah ke tengah malam, Khamis lalu, kunjungan kenalan rapat tidak putus-putus ke Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya.
Semuanya datang bersama harapan agar berita yang mereka terima tidak seburuk yang disebarkan.
Yasmin Ahmad, 51, dilaporkan rebah di Sri Pentas TV3 sewaktu membentangkan kertas kerja pada sesi yang turut dihadiri penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Khalid Muhd Jiwa.
Salah faham tentang hayat pengarah filem Sepet dan Gubra itu terjadi tatkala nafasnya sudah berhenti selama beberapa saat.
Namun, magis terjadi tatkala Siti yang ditemani suaminya ke hospital, bernafas semula ketika sampai di perkarangan hospital setelah dibantu oleh pihak doktor.
Bagi Siti, peristiwa itu adalah satu keajaiban kerana dia telah menyaksikan Yasmin berhenti bernafas dan sempat membisikkan dua kalimah syahadah di telinga Yasmin.
Sehingga tengah hari semalam, hayat pencetus iklan Hari Raya Petronas itu disokong alat bantuan pernafasan dan dia masih ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU). Khamis lalu, pembuluh darah di dalam otak Yasmin pecah sekali gus mencetuskan serangan angin ahmar.
Bukan sedikit yang hadir memenuhkan kawasan ICU di hospital tersebut. Daripada krew bahagian produksi, pelakon tambahan, pelakon terkenal hinggalah ke pengarah-pengarah yang berlainan jalur dengan Yasmin.
Mewakili kaum keluarga yang dirundung kejutan, adik kandung Yasmin, Muzaffar, 38, paling kerap bertemu pihak media.
“Saya terharu dengan perhatian yang diberikan kepada kakak saya. Ada orang kata saya mempunyai seorang kakak yang popular tetapi saya tidak rasa begitu.
“Bagi saya, belum masanya dia pergi. Ada banyak lagi perkara yang mahu dilakukannya. Dalam satu aspek, dia telah memberikan kelainan kepada Malaysia,” kata Muzaffar dalam nada sebak.
Seperti kata penyanyi Jaclyn Victor yang memegang peranan Bhavani dalam filem terkini arahan Yasmin, Talentime, ini adalah satu bentuk kejutan untuk kesedaran. Dia juga terkejut dengan berita yang didengar.
Lantas kejutan yang diberikan oleh Yasmin ini membuatkan ramai sedar akan erti kasih sayang dan komunikasi yang konsisten sesama manusia.
Seperti tulisan yang pernah dicoretkan oleh Yasmin dalam laman blognya tatkala dia menangis menonton sebuah filem Jepun dan terkenangkan ayah, abang, suami, kawan-kawan dan kenalannya:
“Saya menangis mengetahui bahawa tiada orang yang sempurna.Kalau kita menjangkakan kita disayangi kerana kekurangan kita, kenapa kita menolak untuk menerima dan mencintai kekurangan orang lain?”
Semua pihak yang pernah terlibat secara langsung atau tidak mengharapkan yang terbaik buat Yasmin.
Lebih-lebih lagi ayah serta bonda yang kelihatan longlai memasuki pekarangan hospital ketika sampai di situ pada pukul 9.20 malam, Khamis lalu.
Saat ini mereka memerlukan sedikit privasi kerana terkejut dengan berita Yasmin. Pastinya dalam hati mereka mengharapkan Yasmin sembuh semula dan sama-sama meraikan rumah baru yang dibina khas oleh Yasmin di Langkawi buat ayah dan ibu tercinta.
Sumber : KOSMO
Dhiela says : Walaupun tidak pernah bertemu in person dengan insan yang mempunyai karya-karya hebat ini, dia tetap meninggalkan bukan sedikit kesan kepada Dhiela dan Dhiela percaya pada ramai lagi terutama melalui iklan-iklan raya petronasnya yang menyentuh rasa menyuntikkan keinsafan & kesedaran akan kasih sayang sesama manusia …
Dia melahirkan rasa jiwanya dengan ikhlas & jujur melalui karya-karyanya menjadikan kita yang tidak pernah mengenalinya seolah-olah berasa dekat dengannya sekaligus kehilangannya ini pasti dirasai oleh ramai insan yang kenal siapa Yasmin Ahmad secara langsung atau tidak langsung …
Takziah untuk keluarga Arwah Yasmin Ahmad, semoga ruhnya dicucuri rahmat dariNya … amin . Al-Fatihah.










al-fatihah buat Yasmin Ahmad..tak sangka betul beliau meninggal dunia. suka juga tgk filem karya nya nih..takziah buat keluargs Yasmin yer.
ye lah …itulah kehidupan mati itu pasti … bila & di mana yang tidak pasti … al-fatihah untuk arwah …