Jika ayahanda yang dipanggil ‘walid’ masih hidup, tentu dia akan berbangga melihat anak gadisnya yang dididik dengan ilmu al-Quran ini berjaya mengharumkan nama negara dan berjaya dinobatkan menjadi johan qariah di Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-51, baru-baru ini.
Baginya, inilah hadiah yang paling istimewa yang boleh diberi oleh seorang anak kepada bapanya. Kemenangan ini juga adalah hasil daripada tunjuk ajar dan bimbingan bapanya yang tidak terucap dengan kata-kata. Inilah perjuangan walid!
Dialah yang menemani ke semua tilawah yang disertai dan mengajar mengaji serta mengesan bakat untuk bertaranum sehingga mendorong memasuki Akademi al-Quran bagi mendalami pembelajaran qiraati yang masih belum dipelajari oleh Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd. Badiuzzaman, 26, anak tunggal perempuan pasangan allahyarham Syed Mohd. Badiuzzaman Al Yahya dan Zauyah Ahmad.
”Pemergiannya pada 3 Ramadan tahun lalu mengejutkan saya, seolah-olah pendorong kuat telah hilang. Bagaimanapun ibu masih ada, dialah yang bakal mengganti tempat walid dalam memberi lebih sokongan.
“Bagi saya pula, kepulangan walid ke rahmatullah memberi suntikan baru bagi saya lebih berjuang dalam al-Quran dan telah terbukti kemenangan terbaru ini dan ditawarkan menjadi hos program Kalam Suci, segmen pembelajaran al-Quran secara bertaranum oleh Astro Oasis,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menceritakan mengenai persiapan dan sambutan raya tanpa walid, Sharifah Khasif memberitahu, suasananya sedikit sunyi kerana walidlah orang yang paling sibuk bukan sahaja membuat persiapan raya, mengarahkan keluarga bersiap untuk beribadah di pagi raya bahkan melayan tetamu yang bukan sahaja dari Perak, malah nun jauh dari pantai timur, utara dan selatan yang merupakan anak-anak muridnya.
”Jika ada walid, pagi-pagi raya, kami dua beradik telah diarahkan bangun pagi untuk mandi sunat raya, diikuti memohon ampun daripada kedua ibu bapa sebelum bertolak untuk sembahyang raya di Masjid Negeri Perak. Inilah kelaziman lokasi kami untuk sembahyang raya.
”Balik sahaja dari masjid, terus pulang ke rumah untuk membuat persiapan menyambut raya dan kemudian bergegas ke kubur arwah datuk dan opah sebelah walid untuk baca yasin dan tahlil. Selepas itu pergi ziarah datuk, opah sebelah mak pula di Kampung Sungai Tapah, Ipoh.
”Sejam lamanya, kami balik ke rumah semula. Selalunya ramai yang telah menunggu yang terdiri daripada anak-anak murid ayah. Kadang-kadang tu sampai 10 kereta berkonvoi serentak. Mereka datang dari seluruh Semenanjung.
”Walid seorang yang peramah dan tidak henti bercakap. Dia kalau bersembang, mesti pasal al-Quran dan kematian. Ini bagi mengingatkan anak-anak muridnya. Dia selalu cakap kalau Ramadan ini kita jumpa, Ramadan akan datang tak tahu lagi,” cerita Sharifah Khasif yang menggemari makanan seperti lemang, ketupat dan rendang daging pada hari raya.
Bagaimanapun, raya tahun lalu, kata gadis berketurunan Hadramaut, Yemen ini, ketiadaan ayah telah mengubah lokasi sembahyang raya mereka sekeluarga.
”Kami hanya bersembahyang di masjid berdekatan rumah. Tiada lagi suara garau ayah menyuruh itu dan ini. Sunyi memang sunyi. Bagi saya yang rapat dengan ayah, terasa hiba dan sayu mendengar takbir raya tanpa walid.
”Walaupun ayah tiada, anak muridnya tetap datang. Merekalah menjadi penghibur kami dan penguat semangat kami menyambut raya.
”Tahun ini saya rancang untuk membawa emak dan abang melawat keluarga arwah walid di Terengganu dan Kelantan,” ceritanya yang mendapat cuti selama lima hari pada raya ini.
Kemenangannya di peringkat antarabangsa baru-baru ini telah meninggal kenangan manis bukan sahaja untuk dirinya tetapi bagi kerajaan negeri kelahirannya, Perak.
”Saya begitu terharu dengan semua yang menyambut kepulangan saya selepas bergelar johan dunia. Masyarakat setempat telah berarak dari rumah saya dengan kompang dan bunga mangga sehinggakan begitu ramai yang datang menyambut dan meraikan.
”Saya juga begitu terharu dengan Menteri Besar Perak telah meluluskan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada saya kerana telah berjaya mengharumkan nama Malaysia dan selaku anak Perak. Bagaimanapun, saya tidak memandang kepada nilai sumbangan itu walaupun ia agak banyak pada saya, tapi saya melihat kepada pengiktirafan kepada seorang insan seni yang bergelar qariah.
”Saya hidup dengan al-Quran dari kecil hinggalah sekarang . Segala nikmat yang saya kecapi segalanya adalah daripada al-Quran sehinggakan saya berjaya menghantar keluarga ke Mekah dengan berkat al-Quran.
“Kerana itulah saya akan sentiasa meletakkan al-Quran di hadapan kerana uniknya al-Quran ini tidak ada tandingan. Selain hati menjadi tenang dengan membacanya, dimurahkan rezeki, mukjizat al-Quran bukan setakat di dunia, tetapi menjadi peguam kita di akhirat,” katanya.
Beliau mengakui setiap nikmat Allah adalah ujian bagi hambanya. Allah memberi nikmat itu adalah untuknya lebih berusaha lagi dan tidak henti untuk memartabatkan al-Quran.
”Stail saya mudah, hari-hari mengaji satu taranum. Kadang-kadang tu kalau dah tak ada masa sangat, saya lebih senang mendengar lagu-lagu Arab dari Mesir, bukan apa, lagu-lagu ini sebenarnya melatih saya untuk melembutkan burdah-burdah (lenggokan) suara. Sebenarnya taranum ini adalah satu bentuk seni, jadi apa-apa yang berbentuk seni saya akan ambil buat panduan.
”Dalam menjaga suara, saya akan mengelakkan daripada mengambil minuman berais selain tidak memakan durian, rambutan dan dan tembikai.
”Saya juga sering menjalani latihan suara pada subuh. Sebab itulah jika di kampung, akan kedengaran suara bising-bising saya dan abang bagi melatih suara,” ujar graduan kewangan Universiti Tenaga Nasional itu.
Sharifah Khasif di mata ibunya
Sementara itu, ibunya, Zauyah Ahmah, 52, pula menganggap anak bongsunya adalah seorang yang manja dan terlalu rapat dengan dirinya.
”Kalau dulu, sayalah jadi orang tengah selepas dia dan abangnya ditegur oleh walidnya kerana tersalah bacaan dalam al-Quran,” ujarnya.
Namun saya sering menasihati supaya tidak berasa marah dengan tindakan walid terhadapnya kerana menganggap akan ada imbuhan di sebalik hari.
”Kini semuanya terjawab selepas dia dinobatkan sebagai qariah antarabangsa,” ujarnya.
Ceritanya lagi, setiap kali mengaji, pasti paha kedua-dua beradik ini dicubit hingga biru paha itu sebagai tanda kesalahan dalam mengaji.
”Namun kini semua itu hanya tinggal kenangan sahaja,” ceritanya mengenangkan telatah Sharifah Khasif dengan arwah suaminya Syed Mohd. Badiuzaman.
Kata Zauyah lagi, kedua-dua anaknya terlalu takutkan walidnya sehinggakan semasa bermain di laman rumah dan terdengar bunyi deruman motosikal walid, mereka kedua-dua bertempiaran masuk ke dalam rumah untuk mandi dan bersiap mengaji.
Hasil daripada didikan tegas arwah suaminya dulu, kini anak perempuannya kini mampu menguasai tujuh jenis taranum, antaranya bayati, soba, nahwand, rast, sikah, hijaz dan jiharkah.
Bercerita mengenai persiapan menyambut hari lebaran pula, Zauyah memberitahu, Khasif terlalu gemarkan rendang dan lemang yang dimasak olehnya sendiri.
”Jadi setiap tahun rendang dan ketupat itu wajib ada di meja utama.
”Biasanya dulu semasa arwah ada, sebelum menunaikan solat sunat mereka akan berkumpul makan beramai, ini semua memandangkan selepas solat ramai akan bertandang ke rumah,” ceritanya bersungguh sambil memberitahu mempunyai dua helai jubah baru yang dibeli oleh Sharifah Khasif sempena menyambut Aidilfitri nanti.
Lebih menarik kata Zauyah, Sharifah Khasif biasanya akan duduk sebelah bapa semasa di meja utama dan mereka akan bercerita kisah-kisah mereka semasa kecil,” ujarnya.
Katanya lagi, persiapan di rumah juga telah disiapkan sejak awal lagi.
”Tahun ini, kesemua persiapan raya termasuklah langsir dan biskut, Sharifah Khasif yang sediakan, lagipun dia dah bekerja mak cik sekadar ikut saja,” ujarnya yang bangga dengan pencapaian anak tunggal perempuannya itu.
Namun walaupun ini kali kedua mereka bertiga akan menyambut tanpa suaminya namun destinasi utama selepas selesai solat sunat Aidilfitri ialah mengunjungi pusara arwah suaminya yang berdekatan rumahnya.
Sumber : UTUSAN
Dhiela says : Tanpa disedari air mata Dhiela menitis membaca artikel ini … bait-bait tulisannya yang menusuk perasaan … bukan ikut sama menangisi kematian walid semata-mata tetapi keindahan kehidupan yang dilayari … menjadikan Al-Quran sebagai ‘tool’ utama dalam apa jua yang dilakukannya … dengan Al-Quran rezeki diperolehi … bayangkan betapa meriah & indahnya hidup kita sebaik sahaja membuka mata di kedinginan subuh berpeluang mendengar alunan suara yang lunak melagu-lagukan kebesaran Allah (swt) … ya Allah (swt) hanya Engkau yang Mengetahui … itulah destinasi Dhiela sekeluarga …destinasi kita semua … insyallah!










RECENT COMMENTS