Mampu cipta histeria di mana saja kakinya melangkah
DIRINYA akan terus dikenang sebagai penghibur memiliki bakat luar biasa. Dia melewati kehidupan yang tragis, diasak tekanan populariti ketika zaman kecil namun akhir hidupnya dilingkari kontroversi gara-gara berkelakuan aneh serta didakwa melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak.
Michael Jackson membentuk legasi seni yang unggul hingga dilabel peminat sebagai Raja Pop, melakar kejayaan menerusi lagu popular seperti Beat It dan Thriller semua itu tinggal kenangan yang diharap membayangi kisah peribadinya yang memusnahkan reputasi ketika akhir hayatnya.
Mengimbas perjalanan seninya seakan memutarkan semula rakaman kehebatan seorang insan yang mampu mencipta histeria di mana saja kakinya melangkah.
Dia diingati kerana gerak tarinya, malah keunikan vokal miliknya membezakan dia dengan penyanyi kulit hitam hebat seperti Marvin Gaye dan James Brown.
Sejak usia empat tahun lagi, Michael sudah berdiri sebagai penyanyi utama kumpulan lima bersaudara, The Jackson 5 yang turut dianggotai empat abangnya.
Selepas memenangi pertandingan nyanyian dan dikenali di daerah kelahiran, bakat mereka dikesan Gladys Knight yang membawa The Jackson 5 menyertai label Motown Records milik Berry Gordy.
Setahun selepas rakaman, The Jackson 5 melahirkan single pertama mereka, I Want You Back pada November 1969, seterusnya mendaki carta di Amerika Syarikat.
Selepas tujuh tahun, The Jackson 5 terus membesar dengan menghasilkan 13 album lain malah mempunyai siri kartun berdasarkan kisah mereka.
Pada 1976, mereka mengundur diri daripada Motown dan menyertai Epic Records di bawah nama The Jacksons.
Bagaimanapun, Michael berpindah ke New York setahun selepas itu untuk berlakon The Wizard of Oz yang turut dibintangi Diana Ross. Ketika itu dia berusia 21 tahun.
Dia berkawan baik dengan pengarah muzikal filem itu, Quincy Jones seterusnya bekerjasama dalam penerbitan yang meraih kejayaan besar kepada Michael pada 1979 iaitu Off The Wall.
Album ini juga menjadi detik permulaan kejayaan kerjaya solo Michael dan memperlahankan aktiviti nyanyian bersama The Jacksons.
Ketika itu juga, Michael menemui kekuatan sebagai penulis lagu menerusi single, Don’t Stop (Til You Get Enough). Selepas itu bersama abangnya Michael memulakan pembikinan album Thriller pada 1982.
Album itu bertahan 37 minggu dalam carta, membenihkan empat single yang mendaki tangga pertama termasuk lagu yang diilhamkannya sendiri seperti Billy Jean, Gotta Be Startin’ Somethin’ dan Beat It.
Produksi itu dijual 46 juta salinan, meletakkannya sebagai antara album terlaris sepanjang zaman.
Michael yang tidak pernah berpuas hati dengan penampilan dirinya malah dianggap bapanya hodoh dan dilabel abangnya sebagai Big Nose ketika kecil mula menjalani pembedahan plastik.
Tabloid British menggelarnya sebagai ‘Wacko Jacko’. Dia didakwa mengalami permasalahan pemakanan, tidur menggunakan balang oksigen selain kerap muncul di depan khalayak bertopeng.
Pada 1987, melahirkan album Bad yang juga meraih kejayaan besar di seluruh dunia namun gagal menyaingi Thriller meskipun ketika itu dia bergelut dengan siri promosi jelajah dunia.
Buat pertama kali juga kerjaya seninya tidak lagi menjadi tumpuan utama, berbanding kisah peribadinya yang lebih mencuri perhatian.
Kelahiran Dangerous pada 1991 juga tidak terkecuali, namun penurunan jumlah penjualan album berbanding skandal seksual yang terbongkar pada 1993 yang sejak itu memusnahkan karier seninya.
Bagi mengembalikan kegemilangan kerjayanya, Michael dijadual mengadakan 50 konsert di O2 Arena di London bermula 13 Julai. Berikutan kematian mengejutnya, penganjur yang sudah menjangka meraih keuntungan besar kini terpaksa pula mengembalikan wang mereka yang sudah menempah tiket.
Sumber : Berita Harian
Kisah Kedua : Tinggalkan Harta Atau Hutang?
LOS ANGELES – Kematian mengejut Raja Pop Michael Jackson bakal mencetuskan pertikaian undang-undang berhubung jumlah kekayaan penyanyi berkenaan yang akan diwarisi tiga anaknya, lapor sebuah akhbar semalam.
Michael mempunyai dua anak lelaki iaitu Prince Michael, 12 dan Prince Michael II yang berusia tujuh tahun serta seorang anak perempuan Paris, 11.
Setakat ini siapa yang akan memiliki hak penjagaan ke atas mereka masih menjadi tanda tanya tetapi satu sumber menyatakan mereka akan dijaga oleh bekas isterinya, Debbie Rowe buat sementara waktu sehingga isu tersebut diselesaikan.
Gaya hidup mewah Michael menyebabkan dia meninggalkan hutang mencecah AS$500 juta (RM1.7 bilion) tetapi penyanyi itu masih memiliki beberapa aset berharga termasuk hak cipta ke atas 251 lagu kumpulan The Beatles yang bernilai kira-kira AS$1 bilion (RM3.5 bilion).
Sama ada penyanyi itu masih memiliki kekayaan untuk diberikan kepada tiga anaknya hanya akan diketahui dalam beberapa bulan lagi. – Agensi
Sumber : KOSMO
Kisah Ketiga : Album Michael Jackson Laris Bak Pisang Goreng!
Selepas berita kematiannya mula diketahui di seluruh dunia, albumnya mencatatkan jualan yang meningkat begitu tinggi dan menduduki 15 tangga teratas bagi album paling laris dalam tempoh beberapa jam di pasaran Amazon.com Inc.
Dhiela says : Dhiela bukanlah peminat besar MJ malah Dhiela tidak pernah membeli mana-mana pun albumnya sekadar layan di radio atau melihat TV atau melayari internet … Memang tidak dinafikan , lagu-lagu MJ energetic dan mampu membuai rasa … tak percaya cuba dengar Beat It atau You Are Not Alone …
Seorang teman pernah memberitahu bahawa di Barat ada selebriti lebih kaya setelah pemergiannya kerana permintaan untuk mana-mana produk yang pernah dihasilkan akan melonjak naik dan ramai yang membuat untung bukan sedikit daripada kematiannya!
Contoh klasik Elvis Presley & Kumpulan Beatles … ibarat pasaran saham bila ada sahaja anggota Beatles died setiap kali itu nilai-nilai album mereka akan meningkat naik … malahan Dhiela juga yakin ramai peminat tidak akan melepaskan tiket konsert MJ yang telah dibeli untuk refund kerana itu akan menjadi kenangan yang tidak ternilai walaupun MJ tidak sempat beraksi di konsert tersebut…
“Semoga Allah sentiasa merahmati rohmu, Michael,”











RECENT COMMENTS